Pas guna logo sendiri sebab nak ‘tipu’ penyokong

Pas guna logo sendiri sebab nak ‘tipu’ penyokong

Umno melihat tindakan PAS menggunakan logo sendiri di Kelantan, Terengganu dan Kedah untuk menghadapi pilihan raya umum (PRU) akan datang bertujuan ‘menyorokkan’ kerjasama parti itu degan Bersatu dan Perikatan Nasional (PN).

Menurut laporan Malaysiakini, setiausaha Agung Umno Ahmad Maslan berkata strategi itu juga dirangka bagi mengaburi pandangan penyokong sendiri dan mengelirukan mereka ketika mengundi pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita melihat ia adalah satu strategi untuk mengaburi pandangan penyokong mereka sebenarnya,” kata Ahmad seperti dipetik Umno Online hari ini.

Tambah penyandang ahli parlimen Pontian berkenaan, langkah tersebut penting buat PAS kerana parti terbabit mempunyai penyokong tegar di tiga negeri berkenaan dan mereka menolak untuk bersama PN.

Ahmad berkata demikian mengulas kenyataan pemimpin tertinggi PAS semalam bahawa partinya sudah memuktamadkan keputusan untuk menggunakan logo ‘bulan’ tersebut di negeri pimpinannya.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata langkah PAS itu juga secara tidak langsung menunjukkan mereka tidak yakin dengan kemampuan PN di dalam menghadapi PRU ke 15 ini.

“Kalau PAS yakin kepada PN, logo PN dan bendera PN, tentu mereka menggunakan logo PN dan bukan logo parti mereka. Ini membuktikan ketidakyakinan PAS kepada PN,” katanya lagi.

Ahmad juga menegaskan bahawa tuduhan jenayah yang dibuat ke atas pemimpin Umno adalah ‘pendakwaan politik terpilih’ yang dimulakan semasa Pakatan Harapan (PH) memerintah.

“Kalau kita lihat senarai yang pastinya Datuk Zahid (Ahmad Zahid Hamidi) 40 (tuduhan) daripadanya telah bebas dan lepas, Datuk Seri Azeez Rahim dibebas, Datuk Seri Tengku Adnan (Tengku Adnan Tengku Mansor) bebas. Siapa yang kena? Yang kena seorang iaitu Datuk Najib (Datuk Seri Najib Razak), itupun dipertikaikan apa yang berlaku terhadap beliau.

“Kita menunggu apa yang berlaku iaitu dipanggil sebagai judicial review ataupun semakan kehakiman terhadap kes di Mahkamah Persekutuan itu.

“Dan kita pun tahu bahawa prosesnya itu banyak yang tidak puas hati terhadap apa yang berlaku. Jadi, kalau itulah yang dituduh oleh (pimpinan) PAS, ia adalah satu kesilapan,” tegasnya

Ahmad berkata demikian mengulas kenyataan Presiden PAS Abdul Hadi Awang semalam bahawa PAS memilih PN berbanding menjalin kerjasama dengan BN kerana partinya tidak dapat menerima Umno yang “keruh”.

CATEGORIES

COMMENTS