Terkini! PH sah tidak bubar DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang

Terkini! PH sah tidak bubar DUN di Selangor, Negeri Sembilan dan Pulau Pinang

Pakatan Harapan (PH) sah tidak akan membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri yang ditadbir gabungan itu, kata pengerusinya, Anwar Ibrahim.

Bercakap kepada pemberita hari ini, Anwar berkata keputusan untuk tidak membubarkan DUN Pulau Pinang, Selangor dan Negeri Sembilan dicapai dalam mesyuarat Majlis Presiden PH hari ini.

“PKR dan amanah mempunyai pendirian sama pada peringkat awal (untuk tidak bubarkan DUN).

“DAP mengambil masa menjelaskan pendirian mereka tapi akhirnya setiausaha agung DAP memutuskan bahawa kita PH dan tiga negeri PH akan bersama membuat keputusan menangguhkan pilihan raya negeri supaya tumpuan dibuat menangani permasalahan banjir,” kata Anwar ketika sidang media di Ibu Pejabat PKR di Petaling Jaya hari ini.

Turut hadir pada mesyuarat selama dua jam itu ialah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke; Presiden Amanah, Mohamad Sabu; Timbalan Pengerusi DAP, Gobind Singh Deo;Ketua DAP Pera, Nga Kor Ming dan Pengarah Komunikasi Harapan Fahmi Fadzil.

Sebelum ini, Majlis Presiden PH memutuskan bahawa negeri yang ditadbirnya tidak akan membubarkan DUN masing-masing sehingga musim tengkujuh berlalu.

Bagaimanapun, DAP Pulau Pinang sebelum ini menyatakan pendirian tidak bersetuju pilihan raya negeri ditangguhkan.

Anwar turut melahirkan penghargaaan kepada rakan gabungan parti itu di Pulau Pinang kerana menyuarakan pandangan pengundi dan rakyat.

“PH adalah satu badan yang utuh dan kita berikan ruang perbincangan cukup terbuka, apa alasan kita buat keputusan bersama.

“Pertama kita menolak kerakusan pemerintah memaksa pilihan raya dalam keadaan rakyat derita dan susah menghadapi banjir.

“Kedua, kita mahu jentera kerajaan yang sah dan punyai mandat menumpukan bukan pada pilihan raya atau kedudukan mereka, tetapi sepenuhnya tumpu persiapan dan penyelesaian mengurangkan beban kesukaran hidup mangsa-mangsa banjir,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS