Radzi Jidin akhirnya bersetuju jumpa Cikgu Mohd Fadli

Radzi Jidin akhirnya bersetuju jumpa Cikgu Mohd Fadli

Pendedahan seorang guru sekolah rendah yang didakwa menerima surat daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berdepan tindakan dibuang kerja mendapat perhatian Menteri Kanan Pendidikan Datuk Radzi Jidin.

Mohd Radzi menerusi akaun Facebook beliau pada Ahad berkata, beliau berharap dapat bertemu dengan guru terbabit, Mohd Fadli Mohamed Salleh.

“Saya tertarik untuk tahu lebih lanjut perkara yang dibangkitkan Cikgu Mohd Fadli Salleh.

“Kalau cikgu ada kelapangan masa, boleh kita berjumpa.” katanya dalam hantaran ringkas di Facebook.

Respon Radzi itu susulan tindakan guru bernama Mohd Fadli Salleh yang berkongsi surat daripada KPM kepadanya, selepas beliau membangkitkan beberapa isu melalui media sosial.

Mohd Fadli menerusi akaun Facebook miliknya berkata, tindakan tersebut tidak sepatutnya berlaku kerana beliau tidak pernah terlibat dalam sebarang masalah disiplin atau menghadapi masalah dengan ibu bapa murid.

Guru yang mengajar di sebuah sekolah rendah di Gombak itu mendakwa akan dikenakan tindakan buang kerja atau diturunkan pangkat kerana alasan menyuarakan isu Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) melibatkan sistem pendidikan, beg sekolah, silibus subjek, masa belajar dan bilangan murid di dalam kelas.

Malah, Mohd Fadli turut berkongsi gambar surat bertarikh 22 September lalu yang menyatakan bahawa beliau boleh dikenakan tindakan tatatertib buang kerja atau turun pangkat kerana berdepan tiga pertuduhan. Pertuduhan itu ialah kerana memuat naik hantaran di platform media sosial Facebook mengenai jadual waktu serta mata pelajaran yang diajar di sekolah rendah.

Beliau juga dituduh memuat naik hantaran di Facebook mengenai subjek yang diajar pada murid Tahun Satu dan menerusi pertuduhan ketiga, beliau didakwa mengadakan sesi Facebook Live untuk bercakap mengenai masalah pendidikan di Malaysia khususnya subjek yang terlalu banyak menggunakan Facebook.

Beliau diminta membuat representasi secara bertulis dengan mengemukakan alasan dan bukti bagi membebaskan diri daripada kesemua pertuduhan itu dalam tempoh 21 hari daripada tarikh penerimaan surat tersebut.

CATEGORIES

COMMENTS