Viral gambar pertemuan tertutup, Tuan Ibrahim dakwa Asyraf Wajdi mungkir janji

Viral gambar pertemuan tertutup, Tuan Ibrahim dakwa Asyraf Wajdi mungkir janji

PAS menyangkal kenyataan kononnya BERSATU menawarkan 47 kerusi sekiranya parti itu bekerjasama dengan Perikatan Nasional (PN) pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata isu itu tidak pernah dibincangkan pada pertemuan tertutup dengan dua pemimpin UMNO pada 12 Oktober lalu.

Malah, beliau berkata, Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang mendedahkan perkara itu kelmarin (Sabtu lalu) tidak terbabit pada mesyuarat berkenaan.

“Tak betul, dia merapu! Dia (Asyraf Wajdi) tak terbabit pun dalam mesyuarat itu. Bahkan sudah diingatkan agar tidak keluarkan gambar yang beliau ambil sebab pertemuan tertutup,” katanya dalam satu hantaran menerusi Twitter, hari ini.

Baru-baru ini, Asyraf Wajdi berkongsi gambar pertemuan membabitkan pemimpin utama kedua-dua parti iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan; dengan Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang serta Tuan Ibrahim.

Asyraf menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pertemuan itu berlangsung sehari sebelum PAS membuat keputusan kekal bersama BERSATU-PN dengan parti itu turut memaklumkan ditawarkan 47 kerusi boleh menang oleh BERSATU jika menyertai PN.

“Dia (Asyraf Wajdi) mungkir janji. Hanya empat orang yang tahu perincian perbincangan.

“Tawaran 47 kerusi tidak pernah disebut dalam perbincangan itu,” katanya.

Pada 13 Oktober lalu, Abdul Hadi memutuskan untuk memperkukuh kerjasama dalam PN atas prinsip penyatuan ummah dengan keputusan itu dicapai pada Mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat.

CATEGORIES

COMMENTS