AMANAH Perak kerah jentera bantu menangkan Anwar di Tambun – Asmuni

AMANAH Perak kerah jentera bantu menangkan Anwar di Tambun – Asmuni

Parti Amanah Negara (Amanah) Perak akan mengerahkan jentera parti itu bersama-sama rakan di dalam Pakatan Harapan (PH) untuk memastikan kemenangan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Pengerusinya, Datuk Asmuni Awi berkata, kehadiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) di kerusi Parlimen Tambun itu sangat dinanti-nantikan kerana ia akan memberi impak yang besar kepada PH Perak.

Jelas beliau, walaupun keputusan itu bukan sesuatu yang mengejutkan, pengesahan Pengerusi PH itu bertanding di kawasan Tambun menamatkan spekulasi dan penantian rakyat mengenai perkara tersebut.

“Kita memang dah tahu kemungkinan Anwar bertanding di Tambun itu kerana saya sendiri berada di dalam jawatankuasa perundingan kerusi PH pada PRU15 ini.

“Kita akan berikan sokongan penuh untuk memastikan kemenangan PH di Parlimen Tambun dan di dua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di dalamnya,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui pada Jumaat.

Menurutnya, kehadiran Anwar di Perak bukan sahaja akan memenangkan kerusi DUN Manjoi dan DUN Hulu Kinta yang berada di dalam Parlimen Tambun tetapi akan memberi manfaat kepada kerusi-kerusi lain ditandingi calon PH.

Sementara itu, Naib Pengerusi DAP Perak, Dr Abdul Aziz Bari berkata, kehadiran Anwar di kerusi Parlimen itu akan mencerahkan peluang PH merampas Perak sekali gus membentuk kerajaan negeri.

“Saya gembira kerana kerja awal di Parlimen Tambun telah saya mulakan sejak akhir tahun 2020.

“Jadi, kehadiran Anwar akan memperkuatkan lagi kerja itu seterusnya memenangi kerusi Parlimen berkenaan pada PRU15 nanti,” katanya.

Pada malam Khamis, Anwar yang juga Ketua Pembangkang mengumumkan bertanding di kerusi Parlimen Tambun pada PRU15 ini.

Perkara itu dimaklumkan beliau sendiri ketika menyampaikan ucaptama dalam Konvensyen Harapan 2022 yang berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa (ICC) Ipoh pada malam Khamis.

CATEGORIES

COMMENTS