Saarani kata Nga Kor Ming kelakar sangat

Saarani kata Nga Kor Ming kelakar sangat

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad menyifatkan dakwaan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming berhubung tindakan tidak membentangkan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti kerana ingin ‘mencuri’ Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) sebagai mencuit hati.

Saarani yang juga Adun Kota Tampan secara sinis meminta DAP untuk mencermin diri sendiri dan melihat kembali sejarah politik pada tahun 2018.

“Ini satu lawak, tengok sejarah 2018, BN curi orang Pakatan Harapan (PH) ke atau PH curi orang BN?

“Pada 2018 semasa PH membentuk kerajaan, dia (PH) yang curi orang BN bukan BN yang curi orang PH.. ini lawak, cermin diri sendiri,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Pelancaran Briged Sukarelawan Banjir Umno Perak di Bangunan Umno Negeri Perak di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming mengenai tindakan Menteri Besar Perak tidak membentang undang-undang lompat parti sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) membolehkan BN ‘curi’ ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) selepas pilihan raya.

Media sebelum ini melaporkan, kegagalan kerajaan Perak mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) khas bagi membentang dan meluluskan Pindaan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri yang berkaitan dengan peruntukan Rang Undang-Undang Anti Lompat Parti bakal mewujudkan lagi episod ‘katak politik’ di negeri itu.

Nga dilaporkan berkata, tindakan memohon pembubaran DUN tanpa meluluskan undang-undang itu dilihat sebagai taktik BN menarik wakil rakyat untuk lompat parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

CATEGORIES

COMMENTS