PRU15: Rina dijangka tak pertahan kerusi Titiwangsa, bakal lari ke Sepang?

PRU15: Rina dijangka tak pertahan kerusi Titiwangsa, bakal lari ke Sepang?

Desas-desus Ketua Srikandi BERSATU, Datuk Seri Rina Mohd Harun akan berpindah dari kerusi Parlimen Titiwangsa disandangnya untuk bertanding di Parlimen Sepang pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) semakin hangat diperkatakan.

Ia berikutan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu dilaporkan sering menyertai pelbagai program yang dianjurkan di kawasan Sepang, terbaharu adalah sesi bersama jentera pilihan raya BERSATU Bahagian Sepang di Paya Indah Wetland, Bukit Changgang, semalam.

Menerusi hantaran di Facebook, Rina yang juga Ketua Srikandi BERSATU Sepang, memaklumkan, perjumpaan itu dimanfaatkanya dengan menyantuni dan memberikan suntikan semangat kepada jentera pilihan raya BERSATU bahagian itu bagi menghadapi PRU-15.

“Dengan usaha dan keazaman yang teguh serta ketakwaan yang tinggi, kemenangan pasti kita miliki,” katanya pada majlis berkenaan yang turut dihadiri Ketua BERSATU Bahagian Sepang, Datuk Suhaimi Ghazali.

Sebelum ini media memetik Suhaimi berkata, BERSATU sudah menyerahkan nama tiga calon kepada pimpinan tertinggi parti untuk dipertimbangkan bertanding mewakili Perikatan Nasional (PN) di Parlimen Sepang pada PRU-15.

Katanya, dua calon berkenaan, termasuk seorang wanita dipilih dari kalangan Ahli Jawatankuasa BERSATU Bahagian Sepang yang juga penduduk tempatan.

Pada PRU14, Rina yang bertanding ketika BERSATU masih bersama Pakatan Harapan (PH) berjaya merampas kerusi Parlimen Titiwangsa daripada penyandang, Datuk Seri Johari Abdul Ghani mewakili Barisan Nasional (BN).

Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan calon pertama PN, Datuk Mas Ermieyati Samsudin yang juga Naib Ketua Srikandi BERSATU untuk mempertahankan kerusi Parlimen Masjid Tanah pada PRU15.

CATEGORIES

COMMENTS