“Dari Tambun susur jalan keluar ke utara” – Peja guna iklan billboard sasar pada Anwar

“Dari Tambun susur jalan keluar ke utara” – Peja guna iklan billboard sasar pada Anwar

Ahmad Faizal Azumu yang mempertahankan kerusi Parlimen Tambun terus menggunakan papan iklan sebagai bahan kempennya.

Kali ini dia menaikkan papan iklan untuk menunjukkan susur keluar ke utara, dipercayai disasarkan kepada Pengerusi PH Anwar Ibrahim yang berasal dari Pulau Pinang.

Papan iklan dengan tulisan “Dari Tambun susur keluar ke Utara, 50m” dipercayai dinaikkan oleh pasukan kempen timbalan presiden Bersatu itu lewat malam tadi.

Menurut Malaysiakini, kata-kata itu dilihat sebagai respons kepada papan tanda kempen Anwar dengan tulisan “Dari Tambun untuk Malaysia” di Jalan Chemur/Jalan Meru Impian semalam.

Terdahulu, Ahmad Faizal menaikkan papan iklan yang memaparkan wajahnya diiringi kata-kata “Never Lost In Tambun”, yang kini telah diturunkan untuk digantikan dengan papan iklan baru tersebut.

Ia merupakan mainan kata-katanya yang mengingatkan orang ramai kepada sebuah taman hiburan tema terkenal di kawasan berkenaan, Lost World of Tambun.

Kata-kata tersebut boleh ditafsir sebagai menunjukkan Ahmad Faizal tidak pernah kalah di Tambun, atau menggambarkan dia tidak pernah ‘sesat’ di kawasan tersebut.

Sejak Anwar mengumumkan akan bertanding di situ, Faizal telah melancarkan sejumlah serangan yang boleh dikatakan agak kreatif.

Sehari selepas pengumuman Anwar, Faizal “mengalu-alukan” kehadiran Anwar dengan sindiran berkenaan sebutan “air” dalam loghat Perak.

“Di Tambun, kita sebut ayor – dengar betul-betul: ayor, bukan ayaq,” katanya.

Sehari kemudian, papan iklan memaparkan Ahmad Faizal dan kata-kata “Ayor bukan Ayaq” dinaikkan dekat Komplek Lai Chee, di Tambun.

Anwar kemudian membalas dengan berkata dia bukan “orang luar” kerana pernah tinggal selama sembilan tahun di Perak.

Dia membangkitkan tempoh tujuh tahun belajar di Kolej Melayu Kuala Kangsar (MCKK), Kuala Kangsar serta menjalani tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) di Kamunting selama dua tahun.

Pada PRU lalu, Ahmad Faizal menang di kerusi Parlimen itu dengan majoriti 5,320 undi, menewaskan calon BN yang juga penyandang Ahmad Husni Hanadzlah dan calon PAS Muhamad Zulkifli Mohamad Zakaria.

Pada PRU kali ini, selain Ahmad Faizal dan Anwar, turut bertanding adalah Ketua Umno Tambun Aminuddin Md Hanafiah yang mewakili BN dan Abdul Rahim Tahir dari Pejuang.

CATEGORIES

COMMENTS