Peja umum Razman calon MB Perak

Peja umum Razman calon MB Perak

Pesuruhjaya Pas Perak, Razman Zakaria dan Setiausaha Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin merupakan antara calon Menteri Besar Perak jika Perikatan Nasional (PN) membentuk kerajaan di negeri ini.

Pengerusi PN Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, dua pemimpin tersebut merupakan pemimpin tertinggi PN di Perak dan mempunyai pengalaman sebagai Exco kerajaan negeri.

Menurutnya, beberapa calon lain yang bertanding mewakili PN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini juga mempunyai kelayakan untuk dilantik ke jawatan tersebut.

“Calon (menteri besar) kita adalah di kalangan semua calon yang bertanding di semua 59 kerusi di negeri ini, namun kita tentunya akan membawa beberapa nama apabila berjaya menubuhkan kerajaan untuk dipersembahkan kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan Perak.

“Lantikan menteri besar ini adalah prerogatif Sultan Perak. Kita tak nak terjadi perkara penderhakaan kepada Sultan dalam kita nak menunjukkan calon menteri besar.

“Kami akan persembahkan beberapa nama yang sesuai untuk dipertimbangkan,” katanya kepada pemberita ketika ditemui berkempen di Pekan Tambun di sini pada Rabu.

Sementara itu, Ahmad Faizal berkata, PN Perak akan melancarkan manifestonya tersendiri untuk negeri ini dalam masa terdekat.

Jelasnya, manifesto yang akan dilancarkan itu nanti merupakan tambahan kepada tawaran diumumkan oleh PN di peringkat pusat.

Beliau berkata, tawaran yang akan diberikan itu melibatkan usaha menambah baik fungsi kerajaan negeri dan mengambil kira permasalahan yang dekat dengan rakyat.

Jelasnya, ia akan melibatkan sektor-sektor tertentu terutama sekali dalam bidang pengangkutan, pendidikan dan ekonomi rakyat setempat.

CATEGORIES

COMMENTS