Perak perlu wawasan baru majukan negeri – Asmuni

Perak perlu wawasan baru majukan negeri – Asmuni

Perak perlu mempunyai satu pasukan kepimpinan yang mempunyai hala tuju yang jelas serta komited untuk membawa wawasan baru menerajui negeri ini bagi melonjakkan ekonomi dan taraf hidup rakyat.

Potensi besar yang ada di Perak dengan pelbagai hasil bumi seharusnya menjadi kelebihan kepada Perak untuk berada seiring Selangor dan Pulau Pinang dalam memperkembangkan ekonomi negeri.

Perak perlu mengejar peluang yang ada dalam negeri ini untuk memperkembangkan semua sektor ekonomi dan perancangan yang komprehensif perlu dirangka.

Melihat kepada pertumbuhan ekonomi yang agak perlahan pasca Covid-19, Perak perlu segera membawa wawasan ekonomi yang lebih agresif untuk menarik pelabur melabur di negeri ini.

Salah satu sektor yang wajar diberi perhatian adalah sektor pelancongan dan pertanian di mana Perak berupaya untuk menjadi pemain utama dalam pelaksanaan Dasar Sekuriti Makanan yang menjadi salah satu tumpuan utama di kebanyakan negara rentetan pelbagai krisis global yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

Pada masa yang sama, melalui wawasan baru yang dikemukakan, Perak juga mampu menambah peluang pekerjaan khususnya kepada golongan muda.

Memandangkan Perak masih belum membentangkan Belanjawan 2023, kami dalam Pakatan Harapan bersedia sepenuhnya untuk mengemukakan idea dan pelan yang terbaik untuk negeri Perak sekiranya diberikan mandat pada Pilihan Raya Umum kali ini.

Sudah tiba masanya Perak memacu sebagai sebuah negeri maju seiring dengan Selangor dan Pulau Pinang dan limpahan kemakmuran ekonomi yang diperoleh akan mengalir kepada rakyat Perak.

DATO’ ASMUNI AWI
Pengerusi
AMANAH Negeri Perak

CATEGORIES

COMMENTS