Jamal Abdillah akhirnya minta maaf pada Dap

Jamal Abdillah akhirnya minta maaf pada Dap

Raja Pop, Datuk Jamal Abdillah mohon maaf kepada rakyat Malaysia dan parti DAP berhubung video aplikasi TikTok yang tular, sejak beberapa hari lalu.

Menerusi video TikTok itu, penyanyi lagu Kekasih Awal Dan Akhir itu dilihat memberikan pesanan agar tidak mengundi DAP berikutan beberapa isu seperti laungan azan dan sekolah tahfiz yang didakwa pernah dipolitikkan parti berkenaan hingga menimbulkan polemik.

“Kepada peminat dan rakyat Malaysia yang mengikuti video TikTok, saya sebenarnya mendengar pandangan mengenai isu yang saya sebutkan.

“Dengan rasa rendah diri, saya mohon ampun dan maaf kepada seluruh rakyat Malaysia.

“Ini kerana saya ‘spin’ perkara ini dalam keadaan saya tidak mengetahui. Sebagai rakyat Malaysia, saya tidak mahu perkara seumpama ini berlaku.

“Kepada DAP khususnya, saya mohon maaf atas kesilapan dilakukan,” katanya dalam video berdurasi 2.20 minit di Twitter.

Penyanyi berusia 63 tahun itu berkongsi, apa yang disebutkan dalam video TikTok itu pernah tular suatu ketika dahulu.

“Apabila berbincang dengan kawan-kawan, isu ini menjadi topik.

“Saya buat video, tanpa berpengetahuan dalam politik. Ini kerana saya bimbang terhadap generasi akan datang.

“Tidak sepatutnya buat video ini. Bagaimanapun, saya harap peminat bersama mempertimbang dan menilai adakah benar apa yang saya cakap.

“Pernah atau tidak terjadi, terpulang kepada masing-masing.

“Semoga dengan pencerahan ini tiada lagi tuduhan saya buat fitnah. Ini kerana isu pernah tular empat, lima tahun lalu,” ujarnya.

CATEGORIES

COMMENTS