KJ akhirnya dedah episod sedih nak dapatkan kerusi bertanding dalam PRU15

KJ akhirnya dedah episod sedih nak dapatkan kerusi bertanding dalam PRU15

Khairy Jamaluddin mengaku berjumpa Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, untuk menawarkan diri bertanding sebagai calon Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Sungai Buloh pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Bekas Ahli Parlimen Rembau itu bagaimanapun menjelaskan, beliau bertindak sedemikian berikutan tiada menerima sebarang isyarat untuk bertanding di mana-mana kawasan selepas memberi kerusi disandangnya selama tiga penggal sebelum ini kepada Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan.

“Saya tahu kena keluar dari kawasan Rembau. Ketika itu, saya tiada pilihan. Saya perlu melakukan sesuatu untuk diri saya. Jadi, saya mengambil inisiatif untuk (berjumpa) dengan Tan Sri Noh Omar (Pengerusi BN Selangor) dan Vicky (Vigneswaran).

“Tiada banyak kerusi (Parlimen), hanya dua tiga yang tinggal ketika itu. Jadi saya kata, tak apalah saya pilih Sungai Buloh. Bukannya dari awal saya pilih (untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh).

“Saya memang menunggu isyarat daripada pucuk pimpinan tetapi tidak ada apa-apa. Selepas satu per satu kerusi tidak lagi ‘available’, maka akhirnya saya ke sini (Parlimen Sungai Buloh).

“Saya tak nak panjangkan polemik dengan Presiden UMNO, sebab tidak elok bercakap melalui media… tetapi hakikatnya, saya tiada pilihan sebab pucuk pimpinan parti pun tidak memberi sebarang isyarat kepada saya untuk pergi ke mana-mana kawasan. Saya ditinggalkan begitu sahaja,” katanya kepada BH Online selepas mengadakan lawatan di SME Aerospace, di sini, hari ini.

Semalam Pengerusi BN, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, mendedahkan Khairy yang meminta untuk bertanding di kerusi Parlimen Sungai Buloh.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO dipetik berkata, tiada siapa yang memaksa atau mendesak Menteri Kesihatan itu untuk bertanding di kawasan berkenaan.

Mengulas lanjut, Khairy menegaskan, tidak timbul isu beliau membelakangkan Ahmad Zahid, kerana beliau tiada diberi sebarang isyarat berkaitan kedudukan dirinya.

“Macam mana pula saya membelakangkannya (Ahmad Zahid)? Saya tiada diberi sebarang isyarat, tidak dijemput untuk berbincang. Justeru dalam keadaan tarikh penamaan calon semakin hampir, saya perlu buat sesuatu untuk diri sendiri. Jadi, saya mengambil inisiatif berbincang dengan Tan Sri Noh.

“Beliau (Noh) menghubungi saya dan menyatakan jika tiada tempat, apa kata datang ke Selangor. Kemudian, barulah bertemu Presiden MIC kerana sebelum ini kerusi terbabit adalah milik (ditandingi) parti berkenaan.

“Untuk kata saya yang minta (bertanding di Parlimen Sungai Buloh)… itu betul tetapi saya berusaha mendapatkannya kerana sudah tidak ada kerusi lagi. Namun, saya tak nak bertelagah dengan Presiden… pokok pangkalnya saya datang ke sini (Sungai Buloh) mewakili BN,” katanya.

Sementara itu mengulas kenyataan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin, bahawa Khairy berada dalam ‘parti salah’ untuk menjadi Perdana Menteri, Khairy berpandangan bahawa dirinya berada dalam parti yang tepat.

“Pada pandangan saya, saya berada dalam parti yang tepat. Terima kasih Tan Sri (Muhyiddin) kerana memberikan komen baik berkenaan mutu kerja saya. Saya bekerja kuat ketika beliau melantik saya sebagai Menteri bagi menyelaras program imunisasi (COVID-19).

“Beliau tahu apa yang saya mampu lakukan. Ketika bekerja, saya mampu menjalankan tugas. (Namun) Soal parti ini… kita kena bersetuju atau tidak, beliau (Muhyiddin) PN dan saya BN,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS