Nizar berang pembangkang bawa isu pembinaan hospital Seri Iskandar semasa berkempen

Nizar berang pembangkang bawa isu pembinaan hospital Seri Iskandar semasa berkempen

Calon Barisan Nasional (BN) bagi Parlimen Parit, Datuk Mohd Nizar Zakaria membidas calon pembangkang kerana membawa isu rakyat yang tidak relevan lagi.

Sebagai contohnya, calon pembangkang menjaja isu pembinaan Hospital Seri Iskandar yang dikatakan tidak boleh menampung keperluan rawatan dan kesihatan rakyat di bandar Seri Iskandar dan sekitarnya.

Kononnya pembinaan hospital bernilai RM145 juta itu sekadar mempunyai kemudahan 76 katil dan empat wad saja dan tidak mampu menampung kira-kira 100,000 penduduk di situ.

Mohd Nizar berkata, dulu mereka menjaja kisah kelewatan pembinaan hospital serta mempertikaikan kerajaan sudah tidak ada duit bagi projek kesihatan rakyat berkenaan.

“Sekarang ini katanya hospital ini kecil pula.

“Berpusing-pusing isu yang hendak dijaja kepada rakyat. Udah (sudah) dilihat pembangkang sekarang ini membawa isu-isu yang tidak relevan lagi.

“Bukan main berceramah sejak dua tiga hari ini. Sebenarnya status projek ini sudah dibuatnya…udah udah dibuatnya.

“Ada kemudahan 76 katil dengan kos RM145 juta dan capai 5.57 peratus dalam proses pembinaan mengikut penjadualan, tetapi sekarang ini, projek ini mencapai 10 peratus perkembangan pembinaan.

“Maknanya kerja pembinaan hospital Seri Iskandar di tapak seluas kira-kira 18.9 ekar telah melebihi 15 hari bekerja lebih awal. Ini menunjukkan satu perkembangan yang sangat baik,” katanya, lapor Harian Metro.

Beliau mengulas berhubung beberapa siri ceramah pihak lawan yang membangkitkan isu pembinaan Hospital Seri Iskandar serta projek menaiktaraf Jalan Seputeh-Parit yang kononnya gagal disediakan kepada rakyat Parit selama ini.

Mohd Nizar berkata, rakyat di bandar Seri Iskandar dan sekitarnya sebenarnya sudah maklum berhubung pembinaan hospital ini yang bakal memberi manfaat apabila dijangka siap pada penghujung 2024 dengan kerja-kerja pembinaan bermula pada November 2021.

Beliau berkata, pencapaian dan kelulusan projek rakyat seperti pembinaan hospital Seri Iskandar adalah hasil perjuangan rakyat melalui Umno dan BN.

“Yang penting ialah projek sudah diluluskan, tidak kiralah mengambil masa yang panjang. Apapun ia cukup memberi manfaat yang besar kerana rakyat mendapat kemudahan kesihatan yang lebih baik dan moden bagi menggantikan Hospital Changkat Melintang.

“Kita kena bersyukur dan berterima kasih. Inilah yang dinamakan perjuangan, ‘katanya.

Satu lagi isu yang cuba dimanipulasikan ialah projek naik taraf Jalan Seputeh-Parit yang mana Mohd Nizar sendiri memohon maklumat kepada Jabatan Kerja Raya (JKR) bahawa projek berkenaan sudah diluluskan.

“Tidak ada isu pun kerana sudah diluluskan malahan papan tanda projek pun sudah dipacakkan.

“Cuma saya hendak memaklumkan, sesuatu projek itu yang hendak dilaksanakan perlu melalui proses atau tatacara yang betul dan teliti.

“Bagi Jalan Seputeh-Parit ini, ada lagi proses pengambilalihan yang difahamkan membabitkan enam lot tanah.

“Masih belum selesai dan kerajaan masih meneliti nama atau pewaris pemilik lot tanah ini. Perkara ini perlu diteliti dulu. Pedulikan apa yang mereka (calon lawan) katakan kerana mereka tidak tahu atau sengaja nampak tidak tahu,’ kata Mohd Nizar.

Calon BN, Mohd Nizar bakal berdepan saingan empat penjuru bagi merebut kerusi Parlimen Parit pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Mohd Nizar yang juga penyandang kerusi berkenaan untuk tempoh dua penggal berdepan saingan calon Perikatan Nasional (PN) Muhammad Ismi Mat Taib, Nurthaqaffah Nordin dari Pakatan Harapan (PH) dan Faizol Fadzli Mohamed dari Pejuang.

Ada seramai 47,915 pengundi di Parit, tahun ini.

CATEGORIES

COMMENTS