Gempar! Selepas Tuan Ibrahim, Rafizi dedah satu lagi skandal

Gempar! Selepas Tuan Ibrahim, Rafizi dedah satu lagi skandal

Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli akan mendedahkan satu lagi skandal besar berkaitan perolehan tender terbuka sebuah kementerian, Rabu ini.

Beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Parlimen Pandan itu mendakwa, kementerian itu sebelum ini ingin membuka tender bagi satu projek, namun mendapat nota supaya ia diadakan secara rundingan terus.

“Saya akan sebut mengenai perkara ini hari Rabu. Kementerian ini merayu supaya membuka tender namun diarahkan oleh Kementerian Kewangan dan (menerima) nota daripada Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) yang suruh dibuat secara rundingan terus.

“Untuk isu ini senang, sebab kita tidak boleh marah kepada kementerian berkenaan sebab sudah minta ia dibuat secara rundingan terbuka, namun ditolak,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Keadilan, hari ini.

Dalam pada itu, mengulas mengenai isu Projek Tebatan Banjir Sungai Langat Fasa 2, Rafizi meminta Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man untuk menjawab tiga persoalan berkaitan projek berkenaan.

“Tuan Ibrahim perlu menjelaskan kepada rakyat secara terbuka dan terperinci berkaitan latar belakang projek ini, iaitu adakah kementeriannya sendiri yang memohon kepada Kementerian Kewangan bagi menjalankan projek ini secara rundingan terus dengan Mangkabumi Sdn Bhd?

“Selain itu adakah kementeriannya mahu menjalankan projek ini secara tender terbuka tetapi ditolak oleh Kementerian Kewangan bagi menjalankan ia secara rundingan terus dengan syarikat berkenaan?

“Jika kementeriannya memang mencadangkan supaya projek ini dijalankan secara rundingan terus, apakah alasan yang digunakan untuk menutup ruang syarikat lain untuk turut serta dalam projek ini?” katanya.

Rafizi turut mempersoal Tuan Ibrahim sekiranya beliau tidak mengetahui seperti yang dikatakan sebelum ini, ia menunjukkan Timbalan Presiden PAS itu gagal mentadbir dengan baik, sehingga projek sebesar itu boleh diluluskan secara rundingan terus tanpa pengetahuannya.

Beliau turut mempertikai anugerah tender itu kerana syarikat berkenana sudah mendapat lebih RM2 bilion daripada projek kementerian itu sebelum ini, dipertimbang untuk menerima satu lagi projek yang besar, sedangkan projek sebelum ini bermasalah.

Rafizi dalam pada itu turut menyatakan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz turut mengesahkan proses perolehan kerajaan berkenaan dibuat secara rundingan terus.

“Satu-satunya jawapan Tengku Zafrul mengenai perkara itu ialah keputusan melantik Mangkabumi Sdn Bhd secara rundingan terus yang diluluskan sehari sebelum Parlimen dibubarkan, adalah mengikut prosedur dan proses perolehan kerajaan.

“Saya nak ingatkan Tengku Zafrul dan Tuan Ibrahim supaya tidak berselindung di sebalik ulasan pentadbiran, hanya selepas banyak perkara didedahkan barulah pimpinan politik dalam kerajan mula bercakap dengan nada berlainan,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS