Khairy tak kisah walaupun teruk kena marah dengan pengundi

Khairy tak kisah walaupun teruk kena marah dengan pengundi

Calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Sungai Buloh, Khairy Jamaluddin tidak ambil hati dengan tindakan seorang wanita memarahi beliau ketika mengadakan sesi tinjauan mesra di Puncak Alam, semalam.

Ia susulan tular video di aplikasi TikTok seorang wanita bertanya apa bantuan boleh diberikan segera kepada dirinya selain mempersoalkan apa Khairy lakukan sepanjang menjadi menteri.

Khairy berkata, situasi itu bukan masalah kepada dirinya selain menegaskan menjadi kesalahan dalam pilihan raya jika menghulurkan sesuatu kepada pengundi atau orang awam.

“Saya tak ada masalah mengenai apa yang berlaku. Kita berdepan dengan pengundi. Saya buat ‘walkabout’ tidak ada tapisan. Kita jumpa dengan segenap lapisan masyarakat dan bukan semua sokong kita. Ada tak puas hati. Mereka bebas bercakap apa saja.

“Dalam kes semalam, ada seorang kakak minta bantuan supaya diberikan pada hari itu (semalam) juga. Saya kata tidak boleh sebab ia satu kesalahan pilihan raya. Tak boleh bagi apa-apa.

“Saya tengok pada atap kedai dia, terus dia cakap, kalau begitu bagi sekarang. Saya cuba terangkan itu kesalahan pilihan raya kalau nak bagi sekarang. Saya beritahu dia, kita boleh bincang kemudian. Selepas itu dia marah, tak puas hati. Tapi tak apalah, itu hak dia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Selangkah ke Menara Gading dan Townhall Ikon Malaysia bersama Khairy Jamaluddin di Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) Puncak Alam, hari ini.

Khairy berkata, beliau menerima apa saja pandangan dilontarkan pengundi di kawasan itu namun tetap perlu mematuhi undang-undang pilihan raya.

CATEGORIES

COMMENTS