Terkini! Azmin diramal kalah teruk di Gombak – kajian

Terkini! Azmin diramal kalah teruk di Gombak – kajian

Kajian Institut Darul Ehsan (IDE) meramalkan Pengarah Pilihan Raya Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang sebelum ini berjaya mempertahankan Parlimen Gombak bagi tiga penggal, mengalami kekalahan pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini.

Azmin yang juga bekas Timbalan Presiden PKR itu diramalkan akan tewas dengan anak didiknya yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Dapatan itu dibuat berdasarkan kajian institut itu membabitkan responden daripada 47 Pusat Daerah Mengundi (PDM) di Parlimen itu pada 10 hingga 12 November lalu.

Pengerusi Eksekutif IDE, Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman, berkata hasil kajian mendapati 52.5 peratus responden akan mengundi gabungan parti Pakatan Harapan (PH), jauh meninggalkan PN dengan hanya 21.9 peratus.

“Barisan Nasional (BN) pula hanya mendapat 13.8 peratus sokongan, manakala pengundi atas pagar 11.6 peratus,” katanya, di sini hari ini.

Selain Mohamed Azmin dan Amirudin, Parlimen Gombak yang menyaksikan perlawanan lima penjuru ini turut ditandingi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Megat Zulkarnain Omardin, Jamaludin Mohd Tahir (PEJUANG) dan Zulkifli Ahmad (Bebas).

Mohamed Azmin yang juga Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, mula memenangi Parlimen Gombak pada 2008 atas tiket PKR.

Beliau bagaimanapun memutuskan keluar PKR pada Februari 2020 bersama 10 Ahli Parlimen lain dari parti itu, sekali gus turut menyumbang kepada kejatuhan kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Parlimen Gombak menyaksikan sebanyak 206,744 pengundi.

Pada masa sama, Mohammad Redzuan berkata, sebanyak 90.1 peratus pengundi di Parlimen Gombak juga menyatakan tekad untuk keluar mengundi Sabtu ini.

CATEGORIES

COMMENTS