Walaupun dikecam hebat, Tuan Ibrahim tetap pertahan keceluparan Sanusi

Walaupun dikecam hebat, Tuan Ibrahim tetap pertahan keceluparan Sanusi

PAS berpendapat tidak ada sebarang tindakan perlu diambil ke atas Menteri Besar Kedah Muhammad Sanusi Md Nor yang beberapa kali memperlekeh fizikal calon parti lawan.

Menyifatkan itu bukan sebagai sebahagian “masam manis” dalam berkempen, Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dalam mana-mana pilihan raya, parti akan menggunakan strategi tertentu bagi meraih sokongan pengundi.

“Apa yang penting ialah, dalam tempoh kempen ini macam-macam cara orang (gunakan), ada orang kelip-kelip mata pun orang kempen juga dan jadi isu.

“Jadi, saya fikir yang remeh-temeh itu tak jadi isulah bagi kita.

Pada masa sama Tuan Ibrahim menegaskan, kenyataan itu bukanlah bermaksud PAS memandang apa yang dilakukan pengarah pilihan raya parti itu sebagai isu kecil.

“Dia macam satu gubahan bunga, ada bunga kecil dan bunga besar yang menarik,” katanya ketika ditemui Malaysiakini di program di Batu Enam, Kuala Nerus, hari ini.

Baru-baru ini Sanusi mengundang kemarahan sesetengah pihak apabila dia mempertikai kesesuaian seorang wanita menjadi calon pilihan raya.

Menafikan dia seksis, Sanusi menjelaskan ceramahnya itu disampaikan dalam dialek kampungnya dan dalam konteks Sik.

Semalam tular satu klip video memaparkan bagaimana Sanusi menyentuh mengenai keadaan gigi Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Ahmad Amzad Hashim, semalam mengakui ada tindakan tertentu pimpinan parti dan pihak yang berkaitan dengan mereka akan memberi kesan negatif buat menjelang hari pengundian Sabtu ini.

Ahmad Amzad juga menegaskan apa yang berlaku itu adalah bertentangan dengan budaya politik matang dan sejahtera yang mahu diterapkan PAS.

Pun begitu dia percaya pemimpin atasan PAS sudah memberikan teguran sewajarnya kepada pihak yang berkenaan.

Menurut Tuan Ibrahim, memang ada ketika tertentu seseorang itu bertindak berlebihan semasa bersenda gurau dalam menyampaikan ucapan bagi menarik perhatian orang ramai.

“Itu bukan point utama pun… Itu masam manis dalam berkempen

“Tak apa, dalam parti kita manage (uruskan) semua,” katanya ringkas.

Sementara itu, mengulas langkah perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob mahu mengecilkan kabinet jika BN memenangi PRU ke-15 nanti, Tuan Ibrahim berkata PN juga akan mempertimbangkan perkara yang sama.

Katanya pembentukan kabinet bergantung kepada keperluan dan ia mengambil kira pelbagai aspek termasuk kemampuan kewangan.

Pada masa sama Tuan Ibrahim mengingatkan saiz kabinet yang terlalu kecil juga akan bebankan kepada kemampuan kerajaan untuk memaksimumkan keupayaan mereka.

“Jadi, kita kena ambil kira kedua-dua faktor dan ini saya fikir ia akan diputuskan perdana menteri nanti,” katanya.

CATEGORIES

COMMENTS