KPN jelaskan kenapa Jabatan Amal Pas tak dibenar masuk kawasan pencarian tanah runtuh

KPN jelaskan kenapa Jabatan Amal Pas tak dibenar masuk kawasan pencarian tanah runtuh

Sukarelawan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tidak dibenarkan berada di lokasi operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh Batang Kali, di sini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata operasi SAR hanya diketuai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dan tidak sesuai bagi orang awam untuk membantu operasi.

“Mereka (JBPM) akan tentukan siapa yang akan dibenarkan masuk ke kawasan pencarian untuk membantu mereka secara berkesan.

“Kalau tidak ia akan menyebabkan keadaan lebih kucar-kacir kerana kawasan pencarian yang luas,” katanya selepas menghadiri tinjauan di lokasi insiden tanah runtuh di sini pada Sabtu.

Dalam pada itu, Acryl Sani memaklumkan pengamal media akan dibenarkan memasuki kawasan ‘red zone’ secara bergilir bermula malam ini.

Begitu pun, tegasnya kebenaran berkenaan perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan termasuk kawalan daripada pasukan keselamatan.

Setakat petang Sabtu, seramai 24 mangsa terkorban dalam insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, manakala sembilan lagi masih hilang.

Seramai 135 petugas SAR yang pakar dengan kejadian tanah runtuh dikerah ke lokasi runtuhan bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku, selain memastikan keselamatan pasukan bertugas.

CATEGORIES

COMMENTS