Rafizi akhirnya jawab fitnah MOU usul percaya PM bersifat diktator

Rafizi akhirnya jawab fitnah MOU usul percaya PM bersifat diktator

Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli memberi jaminan bahawa perjanjian yang dimeterai antara Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan pemimpin parti dalam kerajaan tidak akan menyekat hak ahli parlimen untuk mengundi, selain daripada sebarang usul keyakinan dan perbekalan.

Rafizi mengulas dakwaan bahawa perjanjian yang ditandatangani pada Jumaat lalu itu bersifat “diktator” dan melanggar kebebasan ahli parlimen untuk mengundi.

“Semua 148 ahli parlimen yang menyokong kerajaan sebenarnya bebas mengundi berdasarkan kepakaran masing-masing, kecuali perkara berkaitan kesahihan kerajaan seperti yang ditetapkan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan undang-undang antilompat parti.

“Terdapat dua undi berkaitan kesahihan kerajaan, undi tidak percaya dan pengundian pada bajet tahunan,” kata Rafizi.

“Selain daripada dua undi ini sebenarnya ahli parlimen bebas mengundi mengikut pandangan masing-masing dan itu tidak tertakluk pada Fasal 4 dalam perjanjian ini,” jelasnya.

Sebelum ini, ahli parlimen PKR Pasir Gudang Hassan Karim menyuarakan kebimbangannya mengenai kata dua ditetapkan untuk menyokong Anwar sebagai perdana menteri dan potensi MOU itu menjadi “senjata tajam.”

Awal hari ini, Pemuda PN membuat laporan polis mengenai memorandum perjanjian itu.

Ketua Pemuda PN Ahmad Fadhli Shaari pada satu kenyataan mendakwa terdapat unsur perjanjian yang menyekat hak perlembagaan ahli parlimen untuk mengundi, dan membungkam suara mereka.

“Ini satu perbuatan salah merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen.

“Saya memohon pihak polis untuk menyiasat perkara ini supaya keluhuran perlembagaan dan kedaulatan undang-undang dapat dijamin dan keamanan negara dapat dipelihara,” kata ahli parlimen Pasir Mas itu pada satu kenyataan.

Menurut Malaysiakini, Ahmad Fadhli mendakwa perjanjian itu sebagai “pakatan jahat” di kalangan parti-parti tersebut.

Dakwanya lagi, MOU itu juga menggunakan istilah palsu “Kerajaan Pepaduan Malaysia” kononnya bagi kestabilan, pembaharuan, perpaduan sosial dan insklusif.

“Perjanjian Persefahaman itu bukanlah satu perjanjian kerjasama, malah sebaliknya adalah satu perjanjian haram yang menyekat, merosakkan dan memudaratkan demokrasi berparlimen,” katanya.

Ahmad selanjutnya mendakwa syarat perjanjian itu melanggar pelbagai hak perlembagaan, termasuk Perkara 49(A) mengenai kesan kepada kerusi parlimen akibat lompat parti.

“Kesan kumulatif peruntukan dalam Perjanjian Persefahaman tersebut, secara ringkasnya, memerlukan semua ahli Parlimen dari parti PH, BN, GPS, GRS dan Warisan untuk mengundi hanya satu cara yang dikehendaki oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim (“DSAI”), PM10 bagi memastikan DSAI dapat memperolehi sokongan yang mencukupi untuk terus menjadi perdana menteri,” katanya lagi.

Selain Anwar, Pengerusi BN Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Menteri Sabah Hajiji Noor, Premier Sarawak Abang Johari Openg dan Presiden Warisan Shafie Apdal hadir pada majlis menandatangani perjanjian yang diadakan di Pejabat Perdana Menteri di Putrajaya pada Jumaat.

CATEGORIES

COMMENTS