Pejuang didakwa tak bayar duit elaun petugas pilihan raya PACA

Pejuang didakwa tak bayar duit elaun petugas pilihan raya PACA

Lebih 50 ejen tempat mengundi dan ejen mengira undi (PACA) sebuah parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tronoh mendakwa elaun bertugas pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), bulan lalu tidak dibayar.

Wakilnya, Mohd Rizal Abd Rahman, 39, berkata, mereka dijanjikan bayaran RM150 sebelum pihak pimpinan parti peringkat negeri gagal dihubungi.

“Selepas selesai bertugas, kami dimaklumkan elaun tersebut akan dibayar dalam tempoh tiga hari bekerja namun, sehingga kini kami tidak menerima elaun tersebut.

“Kami berusaha mendapatkan respon daripada pemimpin negeri namun tiada yang mahu menjawab panggilan mahu pun bertemu dengan kami bagi menyelesaikan perkara ini,” katanya dalam sidang akhbar di Pusing di sini pada Ahad.

Menurutnya, satu laporan polis telah dibuat dan parti perlu bertanggungjawab menyelesaikan bayaran tersebut.

Kami berharap kepimpinan parti ambil berat dengan nasib kami ekoran kesemua ejen merupakan golongan B40.

“Elaun tersebut sedikit sebanyak boleh membantu kami yang kurang pendapatan. Diharapkan apa yang telah dijanjikan dapat ditunaikan,” katanya.

Sementara itu, sumber Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Perak memaklumkan, isu kegagalan melunaskan bayaran elaun kepada jentera pilihan raya parti itu diakui turut melibatkan beberapa kawasan DUN dan Parlimen yang ditandingi mereka.

“Elaun pilihan raya ini melibatkan elaun jentera, elaun PACA dan elaun ‘call centre’. Tiada garis panduan yang jelas daripada parti berhubung pembayaran elaun ini.

“Petugas-petugas ini dinyatakan dalam struktur Jawatankuasa Pilihan Raya Pejuang. Elaun RM50 bagi setiap sesi PACA telah dijanjikan oleh pusat,” katanya ketika dihubungi di sini.

Menurutnya, isu ini masih belum dapat diselesaikan selepas aduan diajukan kepada kepimpinan parti.

CATEGORIES

COMMENTS