Bomba tempelak Jabatan Amal Pas, nafi beri kebenaran sertai SAR

Bomba tempelak Jabatan Amal Pas, nafi beri kebenaran sertai SAR

Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Selangor hari ini menafikan memberi sebarang kebenaran kepada mana-mana orang awam atau sukarelawan untuk menyertai operasi mencari dan menyelamat (SAR) insiden tanah runtuh di tapak perkhemahan Father’s Organic Farm, Gohtong Jaya Batang Kali.

JBPM Selangor dalam kenyataan memaklumkan ia selaras dengan arahan Majlis Keselamatan Negara (MKN 20) iaitu hanya agensi menyelamat terlatih yang dibenarkan berada di kawasan operasi zon merah.

Lima agensi berkenaan ialah JBPM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart).

“Aspek utama diambil kira untuk anggota terlibat iaitu keselamatan, kemahiran dan kecergasan dengan keadaan semasa struktur tanah kawasan bencana dalam keadaan lembut dan jika hujan berkemungkinan berlaku lagi runtuhan atau gelinciran di kawasan runtuhan.

“Keadaan ini memerlukan kepekaan dan latihan khusus seperti kesediaan kita menghadapai situasi sukar dan tidak dijangka, oleh sebab itu kemahiran anggota diperlukan selain mempunyai kecergasan fizikal yang baik untuk berada di lokasi bencana,” menurut kenyataan itu.

JBPM Selangor mengeluarkan kenyataan berkenaan susulan tular gambar sekumpulan sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) yang memasuki tapak bencana tanah runtuh berkenaan dan mendakwa diberi kebenaran membantu operasi SAR mangsa terperangkap di bawah runtuhan.

Operasi SAR memasuki hari keempat hari ini bagi mencari baki sembilan lagi mangsa yang hilang dalam tragedi yang berlaku pada Jumaat lepas itu. Seramai 24 mangsa disahkan terkorban setakat ini manakala 61 selamat daripada keseluruhan 94 mangsa.

CATEGORIES

COMMENTS