Bengang bakal dipecat, Zuraida bagi amaran pada Presiden PBM

Bengang bakal dipecat, Zuraida bagi amaran pada Presiden PBM

Susulan daripada kenyataan tegas presiden Parti Bangsa Malaysia (PBM) Larry Sng berhubung nasib Zuraida Kamaruddin dalam parti itu, bekas ahli parlimen Ampang itu berkata Sng sepatutnya berbincang terlebih dahulu sebelum melaksanakan sebarang tindakan atau membuat keputusan.

Zuraida yang merupakan bekas pemimpin kanan PKR menyifatkan tindakan Sng terhadapnya dan beberapa ahli politik lain dalam PBM sebagai angkuh, tidak matang dan gagal berfikir secara rasional untuk mengendalikan parti.

“Bagi menentukan hala tuju perjuangan ini, saya telah berbincang dengan sebilangan besar ahli PBM dan mendapati bahawa majoriti akar umbi tidak bersetuju dengan tindakan yang dilakukan oleh Larry Sng dalam tindakannya menguruskan parti.

“Tindakan dangkalnya yang sering mendedahkan hal-hal kerahsiaan parti di media sosial ditambah lagi dengan kenyataan-kenyataan yang berbolak balik ternyata telah merosakkan imej PBM dan juga mendatangkan kegusaran dikalangan ahli parti,” katanya.

Semalam, Sng berkata status Zuraida dan beberapa ahli politik yang dekat dengannya bakal menghitung hari untuk kekal bersama PBM, dengan memberikan masa sehingga esok untuk memberi respon kepada surat tunjuk sebab yang dikeluarkan awal minggu ini.

Kata Sng, kegagalan berbuat demikian akan menjadikan Zuraida serta sejumlah individu lain – yang kini digantung keahliannya – dipecat serta-merta.

Sementara itu, Zuraida membangkitkan tindakan Sng yang mengugut pemimpin lain dengan menggunakan kuasanya untuk menandatangani watikah sebelum pilihan raya umum ke-15.

“Malangnya, perkara ini berlaku setelah saya dan pasukan membangunkan PBM dari awal penubuhannya dengan penambahan kekuatan daripada anggota-anggota NGO Penggerak Komuniti Negara dengan perjanjian bahawa tampuk tertinggi parti diserahkan kepada saya serta merta berikutan pengumuman saya menyertai parti ini.

“Perkara ini juga telah diabsahkan melalui usul di dalam mesyuarat agung tahunan parti di peringkat nasional, tetapi setelah PRU15 berlangsung Larry Sng seolah-olah memungkiri janji, malahan bertindak tanpa segan silu membelakangi kehendak majoriti ahli PBM dan telah menyalahgunakan jawatannya untuk kekal berkuasa,” katanya lagi.

Justeru, katanya lagi, dia menyerahkan perkara itu kepada anggota PBM serta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) untuk tindakan selanjutnya.

Sungguhpun begitu,  hal ini saya serahkan kepada ahli-ahli PBM serta pihak pendaftar pertubuhan untuk tindakan selanjutnya.

Pada masa sama, dia berkata akan meneruskan aktiviti-aktiviti kebajikan dan sosial melalui kapasiti sedia ada dalam kalangan masyarakat.

Ia termuask menerusi platform Pertubuhan Penggerak Komuniti Negara yang menurutnya telah bersama-sama NGO Muafakat Nasional.

CATEGORIES

COMMENTS